Timbangan Neraca Melayu

Dipetik dari laman blog: http://adrianshah.blogspot.com

--------------------------

"Timbangan neraca nasib bangsa kita adalah di dalam genggaman orang Melayu hari ini," Dato' Onn Ja'afar.

Assalamualaikum w.b.t.

Ayat di atas telah diucapkan oleh Dato' Onn Ja'afar di dalam satu perhimpunan masyarakat Melayu sekitar tahun 1946.

Pada perhimpunan agung UMNO ke-58, Pak Lah di dalam ucapan dasarnya telah menyentuh satu tajuk berkaitan membangunkan modal insan bagi mencapai potensi bangsa.

Che Det pula tidak pernah putus idea dan harapan di dalam membangkitkan semangat orang Melayu antaranya melalui buku Dilema Melayu dan sajak Perjuangan Yang Belum Selesai. Antara bait-bait sajak ini ialah:

"Hina, hinanya diri
Hanya menantikan bantuan
Bagaimanakah ini terjadi
Kerdilnya diri bukan lagi tuan
Inikah rupanya nasib bangsaku"

Ini adalah beberapa contoh bagaimana pemimpin-pemimpin Melayu dari era pra-kemerdekaan sehingga hari ini tidak putus-putus memberikan pelbagai idea, nasihat, kecaman dan sebagainya dalam pelbagai bentuk dengan tujuan untuk menyedarkan orang Melayu bahawa Melayu perlu menentukan nasib mereka sendiri.

Namun adakah nasib orang-orang Melayu terletak di atas tangan sendiri?

Antara perjuangan paling bermakna UMNO adalah untuk memansuhkan Malayan Union seterusnya mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Alhamdulillah misi ini akhirnya tercapai, namun bukan kerana kerajaan British tunduk kepada desakan orang Melayu tetapi lebih kepada pergolakan politik British sendiri pada waktu itu. Parti Buruh yang memerintah telah didesak bertubi-tubi oleh Parti Konservatif agar mengkaji balik Malayan Union dan akhirnya dua orang ahli parlimen British iaitu Kapten L. D. Gammans (wakil Parti Konservatif) dan Left. Kolonlel David Rees-Williams (wakil Parti Buruh) telah dihantar pada sekitar bulan Mei 1946 untuk membuat tinjauan dan laporan mengenai keadaan Tanah Melayu ketika itu, iaitu lebih kurang sebulan selepas Malayan Union ditubuhkan pada 1 April 1946.

Sebenarnya 1946 merupakan satu tahun yang malang bagi kerajaan British kerana pada tahun yang sama mereka telah meneriman desakan yang amat hebat bagi kemerdekaan negara India. Akhirnya India mendapat kemerdekaan pada 15 Ogos 1947.

Parti Buruh yang memerintah juga baru sahaja berjaya memenangi pilihanraya 1945 dari Parti Konservatif yang telah memerintah kerajaan British sejak pilihanraya 1931. Oleh itu, desakan politik yang sangat hebat telah diterima oleh Parti Buruh bagi membuktikan kemampuan mereka menerajui kerajaan dan empayar British.

Walaupun begitu, usaha yang telah ditunjukkan oleh UMNO dalam memansuhkan Melayan Union patut diberi pujian.

Ini adalah satu contoh, yang terhebat di dalam sejarah masyarakat Melayu selain kemerdekaan dan kejatuhan empayar Melaka, mengenai nasib bangsa mereka sendiri.

Namun, apakah tindakan orang Melayu sekiranya kerajaan British enggan memansuhkan Malayan Union? Adakah orang-orang Melayu akan memberontak dan berperang dengan kerajaan Malayan Union?

Berdasarkan kepada fakta sejarah sejak kejatuhan empayar kerajaan Melaka, pasti ada orang Melayu yang akan menentang, tetapi tidak secara menyeluruh, dan tidak kurang pasti ada yang akan membantu kerajaan Malayan Union menetang bangsa sendiri. Inilah bentuk pemikiran orang Melayu sejak dahulu.

Nasib mereka bukan terletak di atas tangan sendiri. Alangkah sedihnya apabila ianya terus berlarutan sehingga hari ini.

Orang-orang Melayu terutama yang berada di dalam kelompok UMNO, tidak habis-habis berteriak, "Melayu mesti bangkit", "Jangan cabar ketuanan Melayu" dan sebagainya, apatah lagi semasa perhimpunan agung UMNO. Namun ianya lebih kepada retorik politik semata-mata.

Apabila datang seorang towkey bangsa asing, membawa pelbagai imbuhan dan hadiah, maka neraca nasib bangsa sudah terletak di atas tangan towkey tadi.

Perkara yang sama dapat dilihat di dalam pemilihan UMNO kali ini. Calon-calon yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, yang tidak menaburkan hadiah-hadiah dan pelbagai bentuk lain keriangan, dipandang sepi. Berbeza dengan mereka yang 'menghulur', diangkat sebagai pemimpin hebat, walhal neraca nasib mereka telah diletak di atas tangan 'yang menghulur'. Maruah mereka begitu mudah dibeli.

Sekiranya inilah bentuk pemimpin yang dikehendaki di dalam UMNO, maka pastinya Dato' Onn Ja'afar akan merintih menangis melihat bangsatnya bangsanya sendiri.

No comments: